Friday, May 27, 2011

Permata Hatiku...

Assalamualaikum, ana ingin berkongsi satu cerita  yang diambil dari article iluvislam, diharap antum sudi untuk membaca,....




Masih terngiang-ngiang gelak tawanya, Basyirah Raihana, puteri sulung kesayangan kami hasil perkongsian hidup selama lima tahun perkahwinan dengan suami tercinta. 


***


Aku di dapur merasa gembira melihat kemesraan dua beranak itu. “Umi..umi..ana nak ais krim tadi.” Pelat-pelat puteri kesayangan kami bercakap sambil menarik-narik hujung baju kurung yang aku pakai. “ Sayang, tadi baru je makan, tak boleh makan selalu,selsema nanti.” ujarku melarangnya sambil mencium pipi gebunya.

Meskipun baru berumur tiga tahun dua bulan, puteriku itu memahami apa yang aku maksudkan. Bergenang air matanya, tak dapat apa yang dipintanya, tanpa suara. Tersentuh naluri keibuanku melihatnya begitu. Lantas aku tinggalkan ikan-ikan yang masih belum selesai disiang dan terus mendukungnya.


“Sayang, nak jadi anak solehahkan, mesti kena dengar cakap umi.” aku memujuknya. Dia meronta-ronta minta dilepaskan dan terus berlari mendapatkan papanya yang sedang membaca surat khabar. Mengadu padanya, tersenyum aku melihat kerenahnya. Basyirah lebih manja dengan Zamil,suamiku. Setelah dipujuk barulah tersenyum, nampak jelas lesung pipit di kedua belah pipi yang diwarisi dari papanya. Aku kembali menyambung tugasku yang tergendala sebentar tadi.
“Sayang” tiba-tiba Zamil datang menghampiriku. 


“Abang, Diya tengah pegang pisau ni kan, anak dengan papanya sama je, suka ganggu Diya buat kerja.”

“Kenapa Diya tak bagi je ana ais krim, kan dah merajuk puteri abang tu.”
“Abang,ana tu kecik lagi kan, antibodi pun tak cukup lagi  dan senang dapat selsema. Demam pulak nanti macam mana. Abang tu suka sangat bagi apa je yang dia nak.”


“Budak-budak.” jawab Zamil ringkas.


“Abang, budak-budaklah yang kita kena ajar. Nanti dah besar, keras kepala susah nak didik kalau selalu dapat apa yang mereka nak, susahlah macam tu. Diya tak nak anak-anak kita nanti tak pandai nak berusaha.”


***


“Diya, abang on call malam ni kebetulan ada appointment dengan patient pukul 5.00 petang, rasanya Diya dan Ana tak payah tunggu abang balik ye. Abangstay di hospital saja malam ni.”

“Baiklah bang, kalau macam tu biar Diya saja yang ambil Ana dari rumah kak Nab nanti.” balasku sambil tersenyum memandang suamiku yang masih lagi berbaju melayu yang belum digantinya setelah solat subuh tadi. Zamil menghampiriku lalu mengucup kedua belah pipiku.


“Abang sayang sangat isteri abang ni, memang memahami abang, terima kasih sayang.”


“Abang, Diyakan isteri abang siapa lagi nak faham abang kalau bukan Diya kan. Diya yang patut ucapkan terima kasih pada abang sebab jaga Diya dan Ana dengan baik.” aku memeluk suamiku erat.
“Sayang, ishhhh, jangan cakap macam tu. Dah memang tanggungjawab abang untuk jaga Diya dan Ana, kamu berdua permata hati abang.” Zamil membalas pelukan ku. "Terima kasih sebab lahirkan zuriat abang, comel pulak tu macam umi dia ni.” aku terasa bahagia diberi pujian begitu.




***


“Sobahul khair puteri papa.” Zamil mengucup pipi Ana berkali-kali, Ana merengek-rengek kerana tidak selesa diperlakukan begitu oleh papanya. Aku hanya memerhatikan gelagat mereka.

“Cantiknya anak papa pagi ni nak pergi mana ni sayang.”


“Ana nak ikut papa. Ana nak jadi doktor juga. Umi cakap jadi doktor Allah sayang.” tersenyum aku mendengar kata-katanya.

“Kenapa jadi doktor Allah sayang?” tanya Zamil lagi.


“Sebab tolong orang sakit dapat pahala.”


“Siapa yang bagi tahu sayang ni?”

“Umi la!” jawab Ana ringkas tanpa memandang muka Zamil, leka dia menikmati roti telur yang aku buatkan untuknya pagi itu. Suamiku hanya tersenyum mendengar celoteh puteri kesayangan kami. Sarapan pagi itu terasa ceria dibuatnya.


“Ana cepat masuk kereta sayang. Nanti lambat jumpa makcik Nab.”
“Tak mahu, ana nak ikut papa!”


“Sayang, papa nak bagi ubat pada orang sakit. Budak kecil tak boleh dekat-dekat dengan orang sakit sayang, nanti Ana sakit. Siapa nak masakkan roti telur untuk umi?” aku cuba memujuknya untuk akur dengan perintahku.
“Ana dah besar mi, Ana nak ikut papa.” Ana sudah mula menangis.


Hatiku berasa kurang enak pagi itu, biasanya ana tidak banyak kerenah, disuruh sekali pasti akur. Entah mengapa hari ini kerenahnya sukar dikawal.


“Sayang, Ana anak solehahkan mesti dengar cakap umi dan papa.” pujuk Zamil sambil mengusap kepala puteri kami.

“Ana sayang papa, Ana nak ikut papa.” tangis ana teresak-esak sambil mengangkat tangan minta untuk didukung oleh papanya. Hati aku tersentuh melihat keadaan itu, Zamil mendukung puteri kami lalu menciumnya. Ana melentokkan kepalanya di bahu Zamil, manja reaksinya pagi itu seperti sudah lama terpisah dengan papanya.



“Sayang,tak nak macam ni nanti umi balik kerja kita pergi hospital, lepas tu kita tolong papa bagi ubat pada orang sakit ye sayang.” pujukku. Ana mengangkat kepalanya lalu mengangguk tanda akur.

“Umi janji kan mi.” tanya ana lagi.
“Ya sayang, salam papa dulu sebelum pergi.” jawabku.
Ana akhirnya akur. Erat sungguh pelukannya pada Zamil, seolah-olah mahu berpisah lama. Di dalam kereta,tidak henti-henti dia melambaikan tangan selagi kereta yang dipandu Zamil masih di dalam pandangannya. Satu perasaan halus menusuk jiwaku, sebak tiba-tiba.

***


Hampir seminggu aku berada di hospital. Aku langsung tidak menjamah makanan yang Zamil berikan. Mana nak datangnya selera apabila melihat Ana masih tidak sedarkan diri ditemani tiub-tiub di badannya kerana kemalangan itu. Ana kehilangan banyak darah, luka di anggota badannya juga agak parah. Apalah daya insan kecil sepertinya untuk menanggung kesakitan itu. Aku yang dewasa ini pun belum tentu dapat menghadapinya.

“Sayang, umi tahu sayang kuat. Anak umi kuatkan. Sayang, Ana jangan tinggalkan umi.” itulah dialog yang sering aku bisikkan kepadanya. Tidak terdaya aku melihat keadaan Ana begitu. Ya Allah, jika Engkau izinkan, biarlah aku yang menggantikan Ana menanggung kesakitan ini. Ana masih terlalu kecil. Dialah satu-satunya puteri yang menyerikan kehidupan aku dan suami.


“Diya, sudahlah tu. Sabar, tabahkan diri. Ibu makin risau tengok Diya macam ni. Kita doakan Ana ya nak. InsyaAllah semua akan jadi seperti biasa.”


“Bu, semua ni salah Diya bu. Diya yang tak hati-hati, kalau Diya tak lepaskan tangan Ana waktu melintas jalan tempoh hari,mesti semua ni takkan jadi macam ni. Mesti Ana takkan dilanggar dengan kereta tu, Diya yang cuai. Diya yang salah.” tak tertanggung rasanya hati ini menahan sebak, kekesalan yang menusuk jiwaku semakin menebal.


“Diya, istighfar banyak-banyak nak. Tak ada siapa yang salah, semua yang berlaku ni dah ditentukan ke atas kita semua. Tak baik cakap macam tu, pasti ada hikmah yang menanti.”


Beberapa minit kemudian Zamil datang. Aku mendapatkannya dan memeluk suamiku erat. Aku tumpahkan semua air mataku yang tidak berhenti mengalir di dadanya. Ujian ini amat perit untukku dan amat payah untuk aku telusuri.


“Sayang, shhhhh. InsyaAllah anak kita tak ada apa-apa. Sayang perlu kuat demi Ana.” Zamil menenangkanku lembut.


Sepi... tiada kata untuk membalas dan aku terus menangis dan menangis.


***


Mungkin inilah suratan. Ana pergi meninggalkan kami, tiada lagi tawa ceria di rumah kami. Tiada lagi insan kecil yang melengkapi hidup kami. Tiada lagi pipi gebu Ana untuk aku cium setiap hari. Tiada Ana di sisi membuatkan jiwaku sepi, terasa baru semalam aku melahirkan Ana ke dunia. Terasa baru semalam Ana membesar di depan mataku. Aku amat merinduinya, terlalu rindu.

“Ana, umi doakan Ana tenang di sana sayang. Umi tak sabar nak jumpa Ana. Umi rindukan Ana.” doaku dalam hati.
“Sayang...” lamunanku terhenti apabila menyedari yang Zamil berada di dalam bilik. Aku segera menyeka air mataku. Tidak sedar bila ia mengalir.

“Sayang, kenapa termenung ni. Makan ubat dulu ya nanti lambat kebah demam tu.” aku akur perintah suamiku lalu duduk di birai katil menanti Zamil menghulurkan ubat.


Sejak peristiwa perit itu aku sedar yang aku tidak lagi ceria seperti biasa. Aku lebih banyak menghabiskan masa di dalam bilik. Kini hampir dua minggu aku tidak bekerja kerana demam. Sepanjang tempoh dua minggu ini Zamil yang menjaga ku. Bersalah juga kerana menyusahkan suamiku tetapi, entahlah. Sukar untuk aku gambarkan perasaan aku waktu ini, mungkin aku perlukan masa.

“Sayang, apa yang berlaku ni pasti ada hikmahnya. Sebagai hamba Allah kita perlu redha. Sayang, abang pun sedih juga. Ana anak kita. Islam tak melarang kita berasa sedih apabila ditimpa sesuatu musibah. Tetapi dalam masa yang sama,kita perlu kuatkan semangat. Allah tidak akan menimpakan sesuatu ujian yang tidak mampu ditanggung oleh hambaNYA.”

Aku memeluk suamiku erat. Moga aku diberikan kekuatan itu untuk menghadapi ujian ini.


***


“Sayang, jangan lupa belikan air soya ya. Lagi satu, Diya dah order ayam percik mak Kiah nanti abang jangan lupa ambil.” pintaku.

Begitulah rutinku sejak disahkan hamil tiga bulan. Setiap hari pasti ada saja yang dipesan. Mujurlah suamiku seorang yang memahami keadaanku. Kini usia kandunganku sudah lapan bulan. Zamil melarangku bekerja kerana khuatir akan keselamatanku. Hasil daripada ujian ultrasound, bayi yang bakal lahir ini bayi lelaki. InsyaAllah, moga-moga Allah permudahkan segalanya.


“Sayang, nak bagi nama baby kita apa ya?” tanyaku pada suami tercinta, begitu jugalah sewaktu arwah Ana di dalam kandunganku.


“Kita bagi nama, Mohamad Fathudin, ok?"



“Apa maksudnya bang?”

“Maksudnya pembuka agama. Moga-moga putera papa, bila dah besar nanti jadi orang yang berguna pada agama ya sayang.” Zamil mengusap-ngusap perutku seolah-olah sedang berinteraksi dengan bayi yang aku kandungi. Terasa bahagia mulai menyingkap kembali. Jika arwah Ana masih hidup,tentu dia juga amat gembira menyambut kelahiran adiknya, pasti
ada penemannya bermain.


***


Alhamdulillah. Aku selamat melahirkan bayiku, Mohamad Fathudin nama diberi seperti yang kami rancang. Mukanya mirip seperti suamiku yang tercinta juga mewarisi lesung pipit Zamil seperti arwah Ana. Aku bersyukur kerana masih lagi mampu melahirkan zuriat untuk menghiasi keluarga yang kami bina ini.

Moga-moga bahagia ini tiada penghujungnya dan agar Basyirah Raihana(berita gembira yang nyata) sentiasa menghiasi keharmonian rumah tangga kami.


“Buat Ana, umi sentiasa kirimkan doa untuk Ana di sana sayang. Semoga Ana tenteram dan damai di sana bersama penghuni syurga. Umi sayangkan Ana.”

No comments: